Berita Harian ada mengeluarkan artikel penting dan berguna untuk kita. Ayuh kita sama-sama mengambil manfaat dari kisah ini.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN) menyerahkan manfaat perlindungan takaful kepada pendeposit SSPN-i, Yazirruddin Md Som, yang mengalami keilatan kekal menyeluruh akibat darah tinggi sejak Jun 2017.
Yazirruddin, 60, yang sebelum itu bekerja sebagai Pegawai Audit Dalam adalah pendeposit SSPN-i dan membuka akaun untuk dua orang anaknya, masing-masing pada Disember 2011 dan Oktober 2015.
PTPTN dalam kenyataan media, berkata ketika disahkan mengalami keilatan kekal menyeluruh, Yazirruddin mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful bersamaan jumlah simpanan iaitu RM24,922.42.
“Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ilat kekal menyeluruh kepada mereka.
“Selain itu, khairat kematian berjumlah RM2,000 juga diberikan sekiranya berlaku kematian atas pendeposit dan RM500 atas kematian penerima manfaat iaitu anak,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, mengunjungi dan menyempurnakan penyerahan manfaat perlindungan takaful kepada Yazirruddin di kediamannya di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.
Menurut kenyataan media itu, sememangnya nilai manfaat berkenaan tidak dapat mengembalikan kesihatan seorang bapa tetapi ia dapat membantu meringankan beban kewangan bagi menampung kelangsungan hidup Yazirruddin sekeluarga.
“Beliau membuat pilihan yang tepat dengan menyimpan di dalam SSPN-i bagi memastikan masa depan keluarganya terus terjamin,” katanya.
SSPN-i turut menawarkan keistimewaan lain kepada pendeposit termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, geran sepadan serta patuh syariah dan dijamin oleh Kerajaan.
Sehingga Februari 2021, sebanyak 4.86 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit berjumlah RM8.28 bilion.
Noraini Ahmad dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki, beramah mesra bersama isteri pendeposit, Halimah Muhabah sebelum sesi Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful SSPN-i.
Kredit: Berita Harian